suria

Dua Remaja Masih Hilang Dihanyut Arus

KUALA LUMPUR: Dua remaja hilang, dua yang lain berjaya diselamatkan dengan seorang koma setelah mereka dihanyutkan arus deras semasa memancing di sebuah longkang besar di Taman Sri Gombak, Batu Caves di sini Isnin.

Ketua Operasi dan Menyelamat Selayang, Pegawai Bomba Kanan 2, Ahmad Kassim yang ditemui pemberita di tempat kejadian berkata dua daripada lelaki itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 6.30 petang, manakala dua lagi mangsa masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah pula berkata mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Muhamad Saiful Nasihin dan Muhamad Ashraf Salimin - kedua-dua berusia 16 tahun.

Maklumat lanjut mengenai mangsa yang koma belum diketahui.

Sementara yang selamat dikenali sebagai Suhaimi Rashid, 20, dan seorang remaja yang dikenali sebagai Daniel, 18, yang ditemui di longkang besar di hadapan Stesen Petronas Taman Samudera, tidak jauh dari tempat mereka memancing, katanya dalam khidmat pesanan ringkas kepada Bernama. Ahmad berkata bomba menerima maklumat daripada orang ramai pada pukul 6.07 petang mengenai kejadian itu dan menghantar sembilan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang ke tempat kejadian.

Mereka dibantu oleh lapan anggota unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, katanya.

Beliau berkata gerakan mencari sedang dijalankan oleh pihak polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata pihak bomba akan memasang perangkap di Sungai Jinjang bagi mengelakkan mangsa dihanyutkan lebih jauh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain