suria

Baka Kurang Baik Jejas Industri Ternakan

PUTRAJAYA: Industri penternakan lembu di negara ini mengalami kehilangan dianggarkan RM400 juta setahun akibat prestasi pembiakbakaan yang kurang memuaskan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Ibrahim Che Embong.

Menurutnya ia berkemungkinan akibat bidang pembiakbakaan itu sendiri yang tidak diberi penekanan menyeluruh di lapangan memandangkan ia memerlukan penglibatan tenaga kerja, modal dan komitmen yang besar.

Namun, katanya, dengan pengenalan sistem e-Baka hari ini, ia diharap akan menjadi platform penting dalam menjana pembangunan industri ternakan negara untuk meningkat dan memulihara kualiti sumber genetik negara melalui pembangunan baka ternakan berkualiti.

Bercakap kepada Bernama selepas merasmikan Seminar Genetik dan Pembiakbakaan Ternakan serta pelancaran e-Baka, Dr Ibrahim berkata e-Baka adalah satu sistem pengesahan dan pendaftaran haiwan baka tulen yang akan berperanan sebagai pangkalan data bersepadu kepada Daftar Ternakan Pembaka Nasional.

"Sistem ini bertujuan mendaftarkan baka-baka tulen ternakan lembu, kerbau, kambing, bebiri dan babi dalam negara serta mengeluarkan Sijil Pendaftaran Baka," katanya.

Dr Ibrahim berkata sistem itu memberi banyak manfaat kepada penternak antaranya ternakan baka tulen tempatan mencapai taraf baka antarabangsa, menambah nilai kepada ternakan baka, membolehkan khidmat nasihat dan rundingan secara langsung dan memudahkan pelaksanaan pampasan jika diperlukan.

Sistem e-Baka mula dipromosikan di ladang-ladang seluruh Semenanjung pada Mei hingga Jun lepas serta ladang-ladang jabatan dan akan diperluaskan penggunaannya di ladang-ladang swasta di seluruh negara dalam masa terdekat, katanya.

Permohonan boleh dibuat di Pejabat Veterinar daerah atau negeri dengan mengisi borang permohonan pendaftaran haiwan baka sebaik sahaja ternakan baka tulen mencapai umur minimum yang ditetapkan iaitu lembu dan kerbau satu setengah tahun, manakala satu tahun untuk kambing, bebiri dan babi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain