suria

Tangkap Ikan Di Malaysia: Nelayan Indonesia Ditahan

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang telah menahan 23 nelayan warga Indonesia kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara berhampiran Pulau Kendi di sini.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 2, Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua operasi berasingan pada Jumaat lepas dan Ahad.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota agensi itu yang menjalankan operasi khas Satria Utara menahan dua bot nelayan Indonesia pada jarak 45 batu nautika (96km) dari Pulau Kendi pukul 11.45 pagi Jumaat.

"Semasa ditahan, 12 orang nelayan warga Indonesia di atas kedua-dua bot itu sedang merawai iaitu memancing menggunakan mata kail yang banyak di kawasan perairan negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Teh berkata pemeriksaan mendapati setiap bot membawa enam nelayan warga Indonesia yang tidak mempunyai pengenalan diri. Beliau berkata dalam operasi kedua pihaknya menahan dua lagi bot nelayan Indonesia yang menceroboh menangkap ikan 60 batu nautika (128km) dari Pulau Kendi di sini, semalam. Katanya, bot itu masing-masing membawa enam nelayan dan lima nelayan warga Indonesia sedang menangkap ikan.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Teh berkata pihaknya menahan dua buah bot nelayan Zon B yang berpangkalan di batu Maung pukul 10 malam tadi kerana menangkap ikan kurang dari lima batu nautika (11 km) dari pantai perairan Sungai Burung.

Katanya, kedua-dua bot telah melanggar Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana memukat ikan kurang lima batu nautika dari pantai terdekat.

"Kejayaan ini adalah hasil intipan dan risikan pasukan agensi sejak beberapa hari lepas dengan menggunakan bot nelayan dan beberapa buah kapal Maritim dari Perlis bagi mengelak dikesan 'tonto' yang semakin berleluasa di perairan Pulau Pinang.

"Mereka (tonto) sentiasa mengawal pergerakan kita agar dapat menceroboh perairan negara dan menangkap ikan di kawasan penangkapan ikan yang tidak dibenarkan," katanya.

Teh meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara melaporkannya kepada agensi tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain