Curi Kabel: Bekas Tentera Ditangkap - Semasa | mStar

Curi Kabel: Bekas Tentera Ditangkap

BESUT: Seorang bekas tentera berumur 50 tahun ditahan di sebuah pondok berhampiran rumahnya di Kampung Padang Bual, Hulu Besut ketika sedang asyik meleraikan golongan kabel kepunyaan Telekom Malaysia kira-kira jam 4 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam serbuan itu, sejumlah kabel yang belum sempat dijual dipercayai bernilai RM4,200 turut ditemui.

Katanya, selepas mendapat laporan kecurian kabel telekom awal pagi semalam, sepasukan polis membuat intipan di rumah suspek dan mendapati suspek yang merupakan seorang duda sedang meleraikan kabel di dalam sebuah pondok yang diterangi cahaya lilin.

"Suspek terkejut apabila polis menyerbu ke pondok berkenaan dan tidak sempat melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Kamaruddin berkata, polis turut merampas tujuh gulung kabel belum dileraikan dalam guni dan beberapa gulung kabel yang telah dileraikan yang disahkan pihak TM sebagai milik mereka yang hilang sebelum itu.

Ujian air kencing mendapati suspek yang kini bekerja sebagai buruh, positif dadah jenis pil kuda dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Bayi Ditemui Mati Dikelar Di Asrama Sekolah

Artikel Berkaitan

default image

Elak Sertai Silat Berunsur 'Mantera'

Artikel Lain