suria

Iklan Haram: SKMM Batal Lebih 700,000 Nombor Telefon

KUALA LUMPUR: Sebanyak 741,000 nombor telefon yang sudah terbukti dipamer dalam iklan haram telah pun dibatalkan perkhidmatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sehingga 2010.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, selain tindakan pembatalan nombor telefon, kementerian itu juga sedang mengkaji pindaan terhadap beberapa undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan tindakan lebih berat dapat diambil terhadap pihak yang menampal iklan haram tersebut.

"Kementerian ini sedang menjalankan semakan menyeluruh ke atas Akta 171 termasuk berkaitan kadar denda bagi kesalahan melanggar undang-undang kecil PBT dan mencadangkan pindaan yang bersesuaian kepada akta ini mengikut peredaran masa," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang mengenakan denda yang lebih tinggi bagi menangani masalah pengiklan yang tidak bertanggungjawab berterusan menampal iklan haram di kawasan PBT.

Berdasarkan peruntukan undang-undang semasa, Seksyen 104 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menyatakan kadar denda bagi kesalahan melanggar undang-undang Kecil PBT adalah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan yang berterusan, pihak berkenaan boleh didenda tidak lebih RM200 bagi setiap satu hari tempoh kesalahan tersebut diteruskan.

Artikel Lain