suria

Isu Bukit Kepong Dominasi Perbahasan Akta Veteran

KUALA LUMPUR: Kontroversi Bukit Kepong mendominasi perbahasan Rang Undang-Undang Veteran 2011 apabila seorang anggota Parlimen pembangkang 'terkepung' setelah gagal memberikan hujah jelas mengenai fakta serangan ke atas balai polis itu.

Hujah Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang beriya-iya menyifatkan anggota polis yang bertugas semasa insiden berdarah itu sebagai berkhidmat dengan kerajaan British dan bukannya mempertahankan Presekutuan Tanah Melayu menyebabkan beberapa anggota Parlimen kerajaan bangun membantah.

"Insiden itu berlaku pada 1950, kita merdeka pada 1957, jadi askar yang bekerja pada masa itu ada yang Gurka, Fiji dan sebagainya adalah berkhidmat di bawah kerajaan British," katanya yang turut mempertahankan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) yang menyifatkan pengganas komunis sebagai hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Kenyataan Johari menyebabkan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) bangun mencelah dan 'menghentam' anggota Parlimen itu yang disifatkan "salah baca buku" dan membuat kenyataan dengan mendengar "ceramah Mat Sabu" sahaja.

Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) yang kesal dengan kenyataan Johari berkata anggota Parlimen itu tidak seharusnya menyokong sebarang kenyataan atas kepentingan politik semata-mata. "Saya sebenarnya ingin memberi penghargaan kepada Yang Berhormat sebagai bekas anggota keselamatan..tetapi janganlah hanya sebab kepentingan politik kita menyokong yang bukan-bukan...hilang hormat saya," katanya. Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) pula menyangkal dakwaan Johari dan menyifatkan anggota keselamatan yang bertugas pada zaman itu berkhidmat di bawah Persekutuan Tanah Melayu dan bukannya di bawah kerajaan British.

"Mereka berkhidmat bagi memastikan ketuanan Melayu dijaga. Jadi kita jangan kata mereka berkhidmat untuk kerajaan British, mereka ini pejuang negara, jangan kita perkecilkan mereka.

"Jangan sebab kepentingan politik ada yang menidakkan jasa dan perjuangan mereka sedangkan ada keluarga kita yang terkorban, adakah kita hendak mendewa-dewakan komunis," soalnya disambut suara-suara menyokong oleh beberapa lagi anggota parlimen kerajaan yang berterusan membantah Johari yang cuba mempertahankan kenyataannya.

Serangan-serangan itu menyebabkan Johari yang kehabisan idea mencuba sedaya upaya untuk mengalih topik perbahasan kepada perkara lain.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang itu bukan bermaksud mahu membatalkan persatuan bekas tentera sedia ada sebaliknya hanya memindahkan kuasa pendaftaran daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) kepada Pendatar Persatuan Bekas Tentera.

"Cuma pindah, soal aset tidak timbul. Apa juga jawatan, kekal...aktiviti terus berjalan. Kalau tak ada duit Majlis Veteran akan bantu. Cuma jangan tubuhkan persatuan-persatuan ini untuk tujuan politik," katanya.

Beliau berkata dana daripada Tabung Rayuan Hari Pahlawan boleh diagihkan kepada mana-mana persatuan yang tidak mempunyai sumber kewangan mengikut jumlah ahli per kapita. Ahmad Zahid berkata tempoh perpindahan pendaftaran daripada ROS kepada Pendatar Persatuan Bekas Tentera akan mengambil masa selama 21 hari.

Beliau berkata pihak-pihak terlibat dengan persatuan bekas tentera tidak perlu khuatir dengan perubahan kuasa pihak yang mendaftarkan persatuan-persatuan tersebut. Tambahnya, kementerian telah mengadakan sesi-sesi dialog sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan maklum balas dan mendengar pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan terbaik sebelum Majlis Veteran dapat ditubuhkan.

Rang Undang-Undang Veteran 2011 bertujuan menubuhkan Majlis Veteran Malaysia yang antara lain bertujuan menyelia pelaksanaan dasar dan pelan tindakan berhubung dengan hal ehwal veteran selain menjadi badan pemantau bagi semua persatuan veteran di Malaysia.

Di bawah akta baru itu kelak, akan memberi faedah kepada semua anggota walaupun tempoh perkhidmatan mereka hanya sehari.

Antara faedah di bawah akta itu ialah kenaikan pencen minimum pesara, pencen terbitan isteri, bantuan sara hidup, faedah perubatan, pendidikan, peralatan pesakit, elaun pingat dan bantuan sosio ekonomi. Selain itu, akta itu turut membabitkan penyelarasan pemberian elaun bulanan kepada pesara serta kemudahan skim perubatan. Persidangan dewan disambung pada Rabu. -BERNAMA

Artikel Lain