suria

Mubarak Sokong Pengajian Sejarah Dipelajari Di IPT

KULIM: Majlis Bekas Wakil-Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Cawangan Kedah, bersetuju dengan titah Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, supaya pengajian sejarah bukan sahaja dipelajari di peringkat sekolah tetapi juga di peringkat pengajian tinggi.

Setiausahanya Datuk Mohd Hadzir Ismail berkata Mubarak menyokong saranan itu kerana subjek sejarah seolah-olah disisihkan di peringkat pengajian tinggi.

"Tahap taat setia mereka (pelajar) kepada negara kian merosot dan telah menimbulkan pelbagai unsur negatif khususnya berhubung dengan kemerdekaan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Cemerlang Kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, di sini, Khamis.

Mohd Hadzir berkata akibat buta sejarah, sesetengah rakyat di negara ini terpengaruh dengan cerita yang direka, sekaligus menyebabkan kefahaman mereka tentang fakta sebenar sejarah negara terpesong.

Pada Majlis Konvokesyen ke-25 Politeknik Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Jitra, baru-baru ini, Sultan Kedah bertitah sejarah adalah 'buku kehidupan' yang mengandungi pelbagai pengajaran dan perkara penting untuk dijadikan panduan ke arah negara bangsa.

Titah baginda, pelajar dalam bidang Sains, Perdagangan dan Kejuruteraan perlu didedahkan dengan kursus persejarahan, falsafah atau pengajian perbandingan agama bagi membantu membina keterampilan pelajar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain