suria

Kerajaan Bantu Penjaja Dengan 'Pantas' Melalui Program Usahawan Kecil Dinamik

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin dapat membantu lebih ramai penjaja dan usahawan kecil dengan 'trek pantas' melalui Program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, program tersebut merupakan strategi baru kerajaan membantu usahawan kecil yang mempunyai tekanan modal untuk menjalankan perniagaan.

"Bukan mudah untuk mereka mendapatkan pinjaman pantas dan kita akan membantu mereka mempermudahkan proses ini," katanya selepas melancarkan Program UK Dinamik di sini, Khamis.

Menurut Mohd Shafie, peruntukan awal sebanyak RM50 juta telah diberikan kerajaan untuk program yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) ini.

"Mereka yang layak akan menerima antara RM5,000 hingga RM10,000," katanya lagi.

Pada majlis itu, seramai 56 penjaja dan usahawan kecil dari Wilayah Persekutuan telah menerima cek pinjaman masing-masing.

"Mereka terdiri daripada usahawan kecil yang terlibat dalam perniagaan makanan, aksesori wanita, aksesori telekomunikasi, bazar malam, gerai dan bidang-bidang lain," katanya.

Mohd Shafie berkata, pemohon yang memohon akan dipilih oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) manakala Mara dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membantu dari segi modal, bimbingan, penempatan dan perlesenan.

"Sebab itu kita bergabung dengan persatuan dan PBT.

"Mereka ada senarai keahlian dan data yang dapat membantu mempercepatkan proses," katanya.

Tambah beliau, dengan peruntukan yang ada pihaknya mensasarkan dapat membantu kira-kira 10,000 penjaja dan usahawan kecil yang lain dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bagi memudahkan permohonan, mereka hanya perlu mematuhi syarat-syarat tertentu.

"Borang permohonan yang perlu dilengkapkan hanyalah sekeping.

"Jika semuanya dibuat mengikut prosedur, mereka akan memperolehi pinjaman dalam tempoh dua hingga lima hari sahaja," ujar beliau.

Walaupun setakat ini bantuan diberikan kepada penjaja sekitar Wilayah Persekutuan namun kerajaan akan memperluaskan bantuan kepada penjaja di Selangor dan negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

Mengulas bentuk pembayaran balik pinjaman, Mohd Shafie berkata, tempoh bayaran balik yang ditetapkan ialah dua tahun.

"Pinjaman ini bertujuan untuk membantu. Tiada faedah dikenakan untuk tidak membebankan peminjam," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain