suria

Raja Muda Perlis Saran Industri Bantu Graduan

KULIM: Sektor perkilangan berteknologi tinggi dan syarikat multinasional disaran supaya menyusun program bagi membantu meningkatkan kreativiti para graduan lulusan unversiti teknikal supaya mereka mendapat keutamaan dan tempat dalam bidang industri.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail bertitah salah satu langkah terbaik dalam merealisasikan inisiatif itu ialah menerusi penghantaran pelajar menjalani program latihan industri seperti yang telah dilaksanakan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

"Melalui program yang terancang, para pelajar berpeluang untuk menghubungkan teori dan amali mengenai kerja-kerja kejuruteraan yang sebenar, berlatih sambil bekerja dan memahami kehendak dan keperluan industri khususnya," titah baginda pada majlis sambutan Aidilfitri di Anjung Unimap di Kulim Hi Tech Park Business Center di sini, Rabu.

Sebelum itu baginda yang juga Canselor Unimap menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Unimap dengan syarikat B. Braun Medical Industries Sdn Bhd (B. Braun). Unimap diwakili naib canselornya Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin sementara B. Braun oleh naib presidennya Dr Jergen Sllowzer.

Turut sama berangkat ke majlis tersebut ialah Pro Canselor Unimap, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah inisiatif yang diambil Unimap melalui Program Job Kem Strategi telah meluaskan peluang kepada para pelajar yang sudah tamat pengajian untuk diambil bekerja di industri, setelah tamat menjalani latihan selama empat hingga enam bulan.

"Ini menjadi platform terbaik dengan mendedahkan pelajar kepada sektor industri yang berteknologi tinggi. Secara tidak langsung universiti menjadi pembekal tenaga kerja mahir dan profesional kepada pihak industri terutama kepada syarikat multinasional.

"Sekaligus melalui kaedah ini, kita dapat manfaatkan modal insan yang kita lahirkan selama ini," titah baginda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain