suria

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru Ke Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini bagi membolehkan pembangunan dilakukan di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata input dalam rang undang-undang itu antara lain adalah daripada perbincangan mendalam dengan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pemilik dan waris tanah di kawasan itu.

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan dan para pemilik serta waris tanah untuk melihat kawasan penempatan Melayu yang strategik dan bersejarah itu dibangunkan ke tahap maju dan menguntungkan, sesuai dengan kedudukannya di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur," katanya selepas menghadiri sambutan Merdeka Raya anjuran UMNO Titiwangsa di Kampung Baru di sini, Sabtu.

Beliau berkata pihak Peguam Negara juga meneliti rang undang-undang itu tanpa membelakangkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan di kawasan itu.

Raja Nong Chik berkata dengan adanya akta khusus bagi pembangunan Kampung Baru, ia akan membawa kawasan itu setanding dengan lain-lain kawasan yang pesat membangun di bandar raya ini.

Kampung Baru yang meliputi tujuh buah kampung seluas 90.2 hektar dan berusia 110 tahun, kini mempunyai 35,000 penduduk. Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan RM8.8 juta bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan Kampung Baru.

Sumbangan itu adalah daripada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), kerajaan, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Naza. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain