suria

Pemandu Nyaris Maut Kontena Terbakar

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kontena terlepas daripada maut selepas diberitahu tayar lori yang dipandunya terbakar di KM 89.7 di Lebuhraya Utara-Selatan di sini, Jumaat.

Mohamad Fauzi Marzuki, 29, bernasib baik kerana tayar kiri belakang lori kontena itu yang mengandungi muatan kayu seberat 25 tan tidak meletup semasa terbakar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang pemandu wanita kerana memotong di KM80 untuk memberitahu mengenai kebakaran itu kira-kira 11 pagi,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Fauzi dari Changlun, Kedah, memberitahu beliau terus berhenti di tepi lebuh raya untuk memeriksa lorinya.

“Sebaik berhenti saya melihat api sedang marak dan tiba-tiba tayar tersebut meletup. Saya kemudian memisahkan kepala lori daripada kontena,” katanya.

Menurutnya beliau dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Pelabuhan Pulau Pinang untuk menghantar kayu tersebut.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Khairil Syamsul Mohd Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.01 pagi dan tiba di tempat kejadian dalam masa 19 minit.

Katanya tiga buah jentera, dua dari Sungai Petani dan sebuah dari Guar Chempedak dengan anggota berjumlah 14 orang dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kira-kira 30 peratus daripada kontena itu sedang terbakar.

“Anggota Bomba mengambil masa hanya beberapa minit untuk memadam api,” kata Khairil Syamsul dan menambah punca kejadian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain