suria

Perlu Ada SOP, Tahu Status Kawasan Sebelum Sertai Misi Kemanusiaan:Rais

KUALA LUMPUR: Satu prosedur operasi standard (SOP) khusus harus diwujudkan sebagai panduan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak, termasuk pengamal media, sebelum menganjurkan atau menyertai mana-mana misi bantuan kemanusiaan ke luar negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sudah sampai masanya SOP itu diadakan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, seperti insiden malang yang menimpa jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang terkorban Jumaat lepas akibat terkena tembakan curi ketika menyertai misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

"Antaranya sebelum pergi, perlu ditentukan adakah kawasan yang mahu dikunjungi itu kawasan biasa, iaitu kawasan yang mengalami bencana alam atau zon perang yang berbahaya.

"Juga perlu dipastikan tinjauan dibuat untuk mengkaji kawasan itu terutama dari segi tahap keselamatannya," katanya ketika ditemubual dalam rancangan Kopi Panas, yang diacarakan oleh Zulkifli Bujang di TV1, pagi tadi.

Turut diundang Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mengetuai misi ke Somalia itu.

Jenazah Allahyarham Noramfaizul, 39, dibawa pulang semalam, diiringi anggota rombongan misi itu.

Rais berkata juga penting untuk mereka mengetahui ialah apa yang patut dibawa ketika bertugas di kawasan berisiko tinggi serta memastikan setiap anggota kumpulan misi dilindungi dengan insurans khusus.

"Ini kerana kalau anggota misi tidak dilindungi insurans khusus, jika apa-apa terjadi syarikat insurans boleh menolak (tuntutan) sebab itu zon perang. Jadi insurans khusus perlu diambil untuk sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga anggota misi sekiranya terjadi apa-apa ke atas mereka," katanya.

Rais berkata segala keperluan itu perlu dipenuhi bagi menguatkan misi selain memastikan anggota misi lebih bersedia pasa masa akan datang.

"Jangan (kejadian) ini melemahkan semangat mereka yang mahu menyertai aktiviti kesukarelawan sebegini," kata beliau sambil berharap kerja amal yang dilakukan oleh masyarakat, termasuk anggota Kelab 1Malaysia, tidak dirosakkan dengan kritikan yang tidak membina.

Rais menyifatkan misi itu sebagai amat berbaloi dalam konteks kemanusiaan kerana ia bermatlamat membantu masyarakat Somalia meneruskan kehidupan mereka selepas dilanda kemarau dan kebuluran.

Mengenai latihan khusus kepada petugas media sebelum menyertai misi kemanusiaan, Rais berkata, selain boleh diterajui oleh Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), tenaga sukarelawan yang pernah menyertai misi-misi kemanusiaan perlu diperoleh sebagai penceramah bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan sukarelawan baru, termasuk anggota media.

"Mereka yang pernah menyertai misi ini boleh menjadi penceramah berkesan, misalnya Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri boleh berkongsi pengalaman cara-cara untuk berdepan risiko di zon kritikal," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain