suria

Menteri Dalam Negeri Pertahan Tindakan Hantar Pulang Etnik Uighur

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertahankan tindakan menghantar pulang 11 orang etnik Uighur ke China walaupun dikecam pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dengan berkata tindakan itu adalah wajar dan berniat baik.

Beliau berkata, terdapat bukti bahawa mereka terbabit dengan aktiviti jenayah sementara siasatan masih berjalan.

"Kita dikecam dalam sebarang perkara yang kita lakukan, tetapi mereka ini merupakan orang yang dikehendaki oleh kerajaan China.

"Kita mesti berlaku adil kerana akhirnya apa yang penting ialah keselamatan dan kestabilan rakyat dan negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulan kementeriannya di sini, Khamis.

Minggu lalu, polis menahan 16 orang etnik Uighur atas dakwaan terbabit dalam sindiket memperdagangkan orang, di mana 11 orang daripada mereka telah dihantar balik ke China.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa mengecam tindakan menghantar pulang itu.

Mengenai ugutan bunuh yang diterimanya, Hishammuddin berkata walaupun tujuan pihak yang menghantar ugutan itu mungkin untuk menakutkan beliau, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Ia memberi semangat sebab ia menunjukkan kita berada di landasan yang tepat kerana jika tidak mereka tidak akan membuat ugutan sebegini rupa," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 2,237,978 warga asing di negara ini berjaya didaftarkan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) sehingga tengah hari tadi, di mana 1,006,127 merupakan pendatang asing sah manakala 1,231,851 lagi merupakan pendatang tanpa izin.

"Jumlah ini merupakan angka yang besar dan ia sekaligus membuktikan apa yang dilakukan memang diperlukan kerana jumlah sebegitu besar yang telahpun secara sukarela berdaftar dengan kita, bermakna ramai lagi di luar sana yang tidak berdaftar," katanya.

Hishammuddin berkata, langkah seterusnya adalah proses pemutihan yang merupakan perkara yang cukup kompleks dan memerlukan kerjasama kementerian lain yang terlibat serta pihak majikan dan pada masa yang sama unjuran mengenai keperluan warga asing perlu diketahui sebagai persiapan penguatkuasaannya nanti.

Beliau turut menafikan bahawa kementeriannya telah mengeluarkan arahan supaya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) didafar di bawah program 6P.

Beliau berkata, keputusan untuk mendaftar orang pelarian bukan dibuat oleh kementerian tersebut, sebaliknya kementerian itu telah mengeluarkan kenyataan supaya mereka datang secara berperingkat-peringkat agar tidak berlaku kesesakan.

Satu portal berita melaporkan kira-kira 10,000 pelarian dan pencari suaka membanjiri Jabatan Imigresen di sini ekoran mereka diberi notis di saat-saat akhir untuk mendaftar pada Isnin.

Artikel Lain