suria

Jabatan Imigresen Selangor Buat Laporan Polis Terhadap Ketua Wanita PKR

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Selangor pada Selasa membuat laporan polis terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin di Balai Polis Seksyen 11 di sini berikutan kenyataannya mengenai program 6P.

Pengarahnya Mohd Yunus Jamil berkata laporan itu dibuat kerana Zuraida mendakwa Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)(Program 6P) mensyaratkan mereka membaca "skrip bersumpah" menyatakan sokongan penuh kepada Umno dan Barisan Nasional.

Laporan polis itu juga dibuat bagi menafikan dakwaan bahawa skrip seumpama itu sebagai cubaan untuk "menjual kedaulatan negara", kata Mohd Yunus dalam satu kenyataan.

Beliau berkata selain itu, tindakan ini adalah untuk mengambil tindakan ke atas cubaan dan dakwaan yang mempunyai unsur-unsur fitnah bertujuan menjatuhkan imej Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta menyebarkan persepsi negatif kepada pelaksanaan Program 6P.

Mohd Yunus berkata, "Pelaksanaan Program 6P diteruskan selaras dengan rasionalisasi inisiatif yang berteraskan keselamatan negara.

"Kes-kes pemalsuan identiti dan dokumen perjalanan antarabangsa dapat ditangani menerusi rekod-rekod biometrik warga asing sama ada PATI atau pekerja yang telah dikumpulkan menerusi program ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain