suria

Masyarakat Bukan Islam Tidak Perlu Bimbang Perpaduan Umat Islam - TPM

MUAR: Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak perlu merasa bimbang dengan perpaduan yang terjalin di kalangan umat Islam kerana ia memberi kebaikan kepada kemajuan dan pembangunan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, umat Islam merupakan golongan teras kepada negara ini dan oleh itu perpaduan di kalangan mereka merupakan sesuatu yang amat baik kepada negara ini.

Beliau berkata demikian pada majlis bantuan Hari Raya dan Tadarus, Khatam Al-Quran dan berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Dewan Seri Pekembar, di sini, Ahad.

Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian dan anggota Parlimen Pagoh berkata, semua golongan di negara ini akan merasa nikmat daripada perpaduan umat Islam negara ini.

Di dalam majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri turut menerima wang zakat yang disumbangkan oleh beberapa badan korporat untuk diagih-agihkan kepada umat Islam yang memerlukan.

Amanah Raya Berhad (ARB) menyumbangkan wang zakat sebanyak RM100,000 yang disampaikan oleh pengerusinya Datuk Dusuki Ahmad, manakala syarikat Teras Jati pula menyumbangkan RM50,000.

Bank Simpanan Nasional (BSN) pula menyumbangkan van jenazah kepada Masjid Kampung Paya, Bukit Pasir yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Yunus bin Abdul Ghani.

Proton Berhad menyampaikan sumbangan pelbagai barangan keperluan seperti beras, kurma, gula, tepung dan Milo bernilai RM24,000 kepada golongan Islam yang memerlukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain