suria

Liwat II: Anwar Nafi Ada Hubungan Dengan Mohd Saiful

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin, menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjalinkan hubungan seksual dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang merupakan pengadu dalam kes liwat terhadapnya.

Tambahnya, tuduhan yang dilemparkan oleh Mohd Saiful Bukhari itu adalah satu pembohongan yang besar dan berniat jahat yang akan dibuktikan kelak.

Beliau yang memberi keterangan dari kandang pesalah di Mahkamah Tinggi di sini seterusnya menyifatkan tuduhan itu sebagai hina dan keji dan merupakan percubaan untuk membunuh keperibadiannya.

“Biar saya ulangi bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja untuk menghancurkan reputasi dan menggugut saya dengan hukuman penjara 20 tahun, tetapi ingat bahawa saya tidak akan menyerah kalah,” katanya.

Ahli Permatang Pauh itu berkata, aduan Mohd Saiful Bukhari juga diada-adakan selain mempertikaikan keterangan lelaki tersebut yang mendakwa dia mengikut kehendak Anwar kerana takut.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Mohd Saiful dalam keterangannya sendiri mengakui bahawa tiada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa Anwar ada mengunci pintu dari dalam.

Katanya lagi, Mohd Saiful mempunyai peluang untuk melarikan diri daripada ruang tamu kondominium yang didakwa berlaku kejadian liwat terbabit, tetapi dia tidak berbuat demikian.

“Alasan yang diberikan kerana tidak melarikan diri adalah kerana takut yang tidak logik. Dia seorang lelaki berusia awal 20-an dengan ketinggian enam kaki dan berada dalam keadaan fizikal yang baik sedangkan saya seorang lelaki berumur lebih 60 tahun dengan sejarah sakit belakang dan pernah menjalani pembedahan,” katanya.

Oleh itu, Anwar menambah, dakwaan bahawa beliau boleh mendatangkan kecederaan fizikal terhadap Mohd Saiful Bukhari adalah sesuatu yang sangat tinggi imiginasinya dan lelaki terbabit juga boleh menghubungi pihak atasan polis yang mempunyai hubungan baik dengan dirinya, jika benar beliau ada melakukan tekanan secara mental.

Seterusnya, Anwar berkata, Mohd Saiful Bukhari juga telah mengaku bahawa dia ada membawa pelincir dan secara sukarela serta tanpa paksaan telah menyapu pelincir tersebut dan menambah, bahawa kelakuan bekas pembantunya selepas kejadian liwat didakwa berlaku tidak menunjukkan kelakuan seseorang yang telah dikasari.

“Selepas kejadian didakwa berlaku, Mohd Saiful Bukhari mengatakan bahawa dia ada minum dan berborak dengan saya. Tiada percubaan dibuat untuk beliau mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

“Sebaliknya, dia menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada keesokan harinya manakala pada sebelah petangnya, dia menghadiri perjumpaan Kelab Anwar Ibrahim di rumah saya tanpa menunjukkan sebarang ketidakselesaan dari segi emosi mahupun fizikal,” ujar beliau.

Semasa membacakan pembelaannya yang setebal 32 halaman, Anwar juga menimbulkan bahawa terdapat kemungkinan berlaku gangguan bahan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum ia dihantar untuk tujuan analisa.

Katanya, air mani Mohd Saiful Bukhari juga ditemui di bahagian duburnya yang menunjukkan bahawa terdapat penyumbang lain selain daripada lelaki Y (keterangan sebelum ini menyatakan Anwar adalah lelaki Y).

Anwar seterusnya mempersoalkan bahawa tiada DNA seperti air mani yang ditemui di premis kediaman yang dikatakan lokasi kejadian liwat, termasuklah di bilik air, bilik tidur atau di permaidani.

“Pegawai Penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira mengatakan bahawa beliau menyimpan sampel daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) di dalam kabinet pejabatnya selama 43 jam sebelum dihantar ke ahli kimia.

“Dakwaan liwat dikatakan berlaku dua hari sebelum sampel diambil dan ini bermakna, sampel tersebut telah ‘berusia’ 90 jam semasa diterima oleh ahli kimia,” katanya dan menambah telah berlaku kemorosotan terhadap sampel itu akibat dari tindakan bakteria.

Anwar, 64, sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, nombor 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat.

Beliau didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 sebelum perbicaraan bermula pada 3 Februari 2010 manakala pada 16 Mei lalu, Anwar dipanggil untuk membela diri.

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain