suria

Jawatankuasa Khas Parlimen: Pembangkang Jangan Berprasangka

KUALA LUMPUR: Pembangkang diminta tidak berprasangka buruk terhadap komitmen kerajaan bagi melaksanakan reformasi sistem pilihan raya khususnya berkaitan agihan komposisi keanggotaan ahli Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangkang seharusnya menggunakan kesempatan berkenaan sebagai medium untuk mengemukakan sebarang isu yang dibangkitkan sebelum ini bagi menambah baik sistem sedia ada.

"Jangan buruk sangka atau prasangka (negatif). Jangan kita buat andaian dahulu, sebaiknya digunakan kesempatan yang diberikan.

"Nanti bila tertubuhnya jawatankuasa khas ini, perkara yang mereka nak bincang boleh bawa di situ," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Penghargaan dan Ramah Mesra di Maktab PDRM di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai persepsi negatif pembangkang mengenai agihan keanggotaan dalam jawatankuasa khas berkenaan apabila mereka hanya akan diwakili oleh tiga ahli Parlimen.

Pada Rabu Kabinet memutuskan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen akan dianggotai sembilan ahli Parlimen terdiri daripada lima mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN), pembangkang (3) dan Bebas (1).

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, jumlah majoriti wakil BN menerusi jawatankuasa khas itu merupakan amalan yang dipraktikkan namun pada masa yang sama, kerajaan turut menjemput wakil pembangkang dan bebas untuk berbincang mengenai reformasi sistem pilihan raya di negara ini.

"Itu (jumlah) cadangan yang telah kita kemukakan, perkara ini akan dibentangkan di sesi Parlimen akan datang.

"Apa pun ini amalan yang dibuat, kita mesti tahu bahawa sistem jawatankuasa terpilih ini wakil-wakil semua pihak termasuk bebas, pembangkang dan wakil BN ada bersama," katanya.

Tambah beliau lagi, pembangkang seharusnya melihat penubuhan jawatankuasa ini sebagai satu komitmen kerajaan menerima pandangan semua pihak mengenai sistem pilihan raya sedia ada.

Artikel Lain