suria

Tiga Jenis Bawang Disenaraikan Di Bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan

BERA: Tiga lagi barangan keperluan iaitu bawang merah, bawang putih dan bawang besar disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri 2011, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Barang yang disenaraikan sebelum ini ialah daging lembu tempatan, daging lembu import, telur gred A, B dan C, ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kerbau tempatan, daging kerbau import, kobis bulat import, cili merah, tomato, kelapa parut, kacang tanah import, ikan kembung dan kentang.

Ismail Sabri berkata barangan tersebut disenaraikan kerana ia dilihat akan menjadi keutamaan kepada orang ramai semasa musim perayaan nanti.

"Kawalan harga barang itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu iaitu bermula dari 22 Ogos hingga 5 Sept 2011," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada warga emas dan di rancangan Felda Rentam, Bera, di sini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga memberi jaminan bahawa barangan keperluan bersempena sambutan Aidilfitri nanti mencukupi dan semua pemborong telah diminta memastikan barangan seperti bekalan ayam, daging, kelapa serta minyak masak mencukupi di pasaran.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah menambah bekalan minyak masak sebanyak 7,000 tan metrik lagi sebagai tambahan kepada 70,000 tan metrik yang dibekalkan setiap bulan kepada pembekal dan pemborong untuk diedarkan kepada peniaga bagi keperluan hari raya ini, katanya.

Beliau berkata pihak penguatkuasa kementeriannya juga akan membuat pemantauan harga dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan secara melampau. - BERNAMA

Artikel Lain