suria

Pemenang Hantar Memorandum Cadangkan Tubuh Baitul Mal Negara

GEORGE TOWN: Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mirzan Zainal Abidin bagi mencadangkan penubuhan sebuah Baitul Mal Negara sebagai usaha menyatukan wang kutipan zakat.

Yang Dipertua Pemenang, Datuk Seri Mohd Yusuf Latiff berkata penubuhan Baitul Mal Negara itu diperlukan supaya Pusat-pusat Urus Zakat di negeri dapat menyalurkan dana di peringkat pusat untuk agihan secara langsung kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Katanya Baitul Mal Negara boleh mengutip zakat oleh badan-badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk dijadikan dana bantuan kepada umat Islam.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohd Yusuf berkata memorandum itu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Seri Paduka ialah ketua agama negara dan salinan memorandum itu akan dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai wakil kerajaan.

Yusuf, yang juga Pengerusi Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang, berkata adalah sesuatu yang memalukan apabila masih terdapat umat Islam hidup daif tanpa sebarang bantuan di negara ini sedangkan setiap negeri mempunyai kutipan wang zakat berjumlah jutaan ringgit.

"Kemiskinan boleh menyebabkan kekufuran dan kini telah terdapat umat Islam yang mengambil bantuan daripada pihak gereja dan sanggup mendengar motivasi yang dijalankan oleh paderi-paderi Kristian," katanya.

Beliau berkata cadangan untuk penubuhan Baitul Mal Negara itu pernah dibangkitkan oleh Dewan Perniagaan Islam Malaysia beberapa tahun lepas tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan.

Katanya adalah tidak wajar bagi negeri-negeri yang kaya dengan kutipan wang zakat sanggup membelanjakan wang itu untuk membeli bangunan dan hotel sedangkan terdapat umat Islam di negeri itu yang hidup dalam kemiskinan dan wang lebihan zakat itu sepatutnya boleh disalurkan kepada Baitul Mal Negara.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan terdapat wanita ibu tunggal miskin Islam di Selangor menerima bantuan daripada gereja setelah dia tidak mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam negeri itu. - BERNAMA

Artikel Lain