suria

NGO Gesa Suhakam Percepat Siasatan Penangguhan Kes Liwat

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mempercepatkan siasatan ke atas permohonan bapa mangsa kes liwat Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim untuk meneliti kes mahkamah anaknya yang sering tertangguh.

Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata Suhakam perlu memberi perhatian kepada surat Azlan yang disampaikan kepada badan bebas itu pada 3 Ogos lalu bagi meneliti perkara yang menyebabkan perbicaran kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Mohd Saiful Bukhari sering tertangguh sejak kes itu dibicarakan di mahkamah pada tahun 2008.

Beliau berkata penangguhan kes itu pada Isnin lepas merupakan penangguhan kali yang ke-66 dalam perbicaraan kes tersebut, dan dengan banyaknya penangguhan ianya bagaikan 'keadilan yang diabaikan untuk mangsa'.

Suhakam, sebagai sebuah badan bebas yang terlibat dengan hak asasi manusia di negara ini, perlu meneliti kes itu dengan sebaiknya, dan jika perlu menasihati Ketua Hakim Negara supaya kes itu dapat diteruskan perbicaraannya tanpa perlu ada penangguhan lagi, katanya.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos 2008 terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama. BERNAMA

Artikel Lain