suria

Kerajaan Sasar Kurangkan Masa Menunggu Di Laluan KTM Komuter Dengan Tren Baru

KUALA LUMPUR: Apabila tren yang baru dibeli daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive dari China memulakan perkhidmatan bagi laluan KTM Komuter menjelang akhir tahun ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan tempoh menunggu lebih 30 minit yang begitu menyeksakan di kalangan pengguna tren semasa waktu puncak.

Pengguna sepanjang laluan Rawang-Sungai Gadut, Batu Caves-Pelabuhan Klang, Sentul-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Rawang akan mendapat manfaat daripada muatan tambahan tren itu yang secara teknikal dikenali sebagai Unit Tren Elektrik atau EMU.

Sebanyak 38 EMU yang pertama akan tiba bulan depan dan akan diuji sebelum memulakan perkhidmatan.

Kira-kira 100,000 pengguna akan bersesak-sesak dalam tren Komuter KTM setiap hari pada Isnin hingga Jumaat untuk bergerak dalam kira-kira 20 set EMU bagi tiga tren yang ada kepada mereka.

Daripada satu jadual selang 15 minit pada satu-satu masa, yang secara teori memerlukan sekurang-kurangnya 36 EMU untuk disediakan setiap hari oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd atau KTMB, ini telah melambatkan kepada selang 20 minit atau secara teori bermakna 25 EMU.

Malah KTMB juga tidak mempunyai 25 EMU. Sejak September 2009, kebolehsediaan mereka telah menurun kepada sekitar 21 EMU setiap hari kerana tren yang rosak yang tidak dibaiki daripada 62 EMU pada satu-satu masa. Pada hari yang malang, ia boleh menurun kepada 15 hingga 18 EMU sehari.

Justeru, kelewatan 40 minit atau lebih pada sesetengah sektor bukan sesuatu yang jarang berlaku dengan tren KTM komuter yang sentiasa sesak dengan penumpang pada Isnin hingga Jumaat.

Ini menguatkan kenyataan bahawa tiada kekurangan penumpang bagi tren KTM komuter memandangkan kosnya yang secara relatifnya murah kerana ia cuma RM6 dari KL Sentral ke Seremban.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha memberitahu Bernama bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memperbaiki keadaan melalui beberapa inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam.

Inisiatif NKRA itu dilancarkan pada Julai 2009 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memacu ke arah mencapai Wawasan 2020 dan meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat.

Selain meningkatkan kapasiti, Kong berkata langkah-langkah juga dibuat bagi meningkatkan bilangan penumpang setiap hari kepada 600,000 pengguna kenderaan awam di Lembah Klang menjelang akhir 2012.

Sasaran ini, katanya, adalah 2.5 kali lebih daripada bilangan penumpang sekarang.

"Ia satu tugas yang agak mustahil tetapi kami sedang berusaha untuk mencapai sasaran itu," kata Kong.

Jumlah penumpang harian pada masa ini adalah kira-kira 240,000 bagi pengangkutan awam di Lembah Klang, dianggarkan mewakili 10 hingga 12 peratus daripada jumlah penduduk di pusat bandar yang tersibuk di negara ini.

Kong menjelaskan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang telahpun melimpah ruah terutama bagi khidmat tren (KTM Komuter, RapidKL, LRT dan Monorail).

Beliau menjelaskan keadaan yang sedemikian mendesak memerlukan tambahan kapasiti bagi lebih 360,000 orang untuk menukar daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

Mengenai potensi peningkatan, 58 peratus atau 207,000 merupakan penumpang tren dan 42 peratus atau 153,000 bagi bas.

Tren akan menjadi penyumbang terbesar dengan KTM Komuter menyumbang sekitar 95,000 penumpang, laluan LRT Kelana Jaya 62,000 dan LRT Ampang 33,000.

Langkah pertama ke arah meningkatkan kapasiti itu berlangsung pada akhir 2010 apabila empat gerabak set tren diperkenalkan pada laluan LRT Kelana Jaya, laluan tren paling sesak di Lembah Klang, berbanding dua gerabak set tren.

Inisiatif itu adalah bagi mendapatkan "kemenangan segera" bagi manfaat orang ramai di bawah NKRA bagi pengangkutan awam bandar. - BERNAMA

Artikel Lain