suria

Balai Polis Akan Dilengkapi Sistem Rating Perkhidmatan Anggota Polis

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan perkhidmatan hadapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), adalah dijangkakan semua balai polis akan dilengkapi dengan Sistem Penarafan Perkhidmatan Pelanggan mulai tahun depan.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Eugene Teh berkata buat permulaan balai-balai polis di Selangor akan dilengkapi dengan sistem itu tidak lama lagi.

Sistem itu berfungsi dengan orang ramai membuat penarafan terhadap pegawai polis melalui mesin khas, misalnya semasa membuat laporan mengenai kes kemalangan.

"Projek perintis ini dirancang untuk mereka (di Selangor) kerana mereka memiliki lebih banyak balai polis dan penduduk yang padat," katanya semasa menyampaikan laporan terkini sektor itu dari Januari hingga Jun lalu.

Teh berkata sistem tersebut kemudiannya akan dikembangkan di balai polis di Kuala Lumpur dan lain-lain negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain