suria

Agong Sampaikan Tauliah Kepada 10 Hakim Syarie

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan suratcara watikah pelantikan kepada 10 Hakim Rayuan Syariah dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka, di Istana Negara di sini, Rabu.

Empat daripada mereka menerima watikah pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah bagi Melaka, iaitu Ketua Hakim Syarie (Putrajaya) Tan Sri Ibrahim Lembut; Ketua Hakim Syarie (Kuala Lumpur) Datuk Mohamad Abdullah; serta Hakim Rayuan (Putrajaya) Datuk Md Yusuf Che Teh dan Hakim Rayuan (Melaka) Datuk Mohammad Ibrahim.

Dua Hakim Rayuan bagi Putrajaya iaitu Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun, masing-masing dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah bagi Melaka dan Kuala Lumpur.

Hakim Rayuan (Putrajaya) Datuk Johdi Toha menerima watikah pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Abdul Walid Abu Hassan dan dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Mohammad Zamri Roslan dan Mohd Yunus Mohamad, turut menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Seri Paduka. - BERNAMA

Artikel Lain