suria

Eksekutif Pemasaran Utusan Malaysia Maut Kemalangan

KUALA LUMPUR: Eksekutif Pemasaran syarikat akhbar Utusan Malaysia terkorban selepas terhumban ke dalam gaung setelah kenderaan yang dinaikinya melanggar penghadang jalan di Km401.8, Lebuhraya Utara Selatan menghala Kuala Lumpur di Hulu Selangor awal pagi Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira 12.45 pagi itu, Shakeera Hani Aznan, 26, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari pulau Langkawi, Kedah bersama rakannya yang memandu Proton Inspira.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Hulu Selangor Asisten Supritendan (ASP) Mohd Taib Songgoh berkata bagaimanapun pemandu kereta itu, Abd Salimi Abd Halim, 31, yang bekerja di syarikat yang sama, hanya mengalami luka kecil dan dirawat di Hospital Kuala Kubu Baharu.

Sebuah daripada tayar kereta berkenaan dipercayai pancit secara tiba-tiba di tempat kejadian hingga mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan, katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, Sabtu. "Selepas terbabas dan melanggar penghadang jalan itu, mangsa telah tercampak keluar ke dalam gaung sedalam 10 meter," katanya.

Mohd Taib berkata polis yang berusaha mengesan mangsa hanya menemui mayatnya tiga jam kemudian iaitu kira-kira 4 pagi di kawasan semak di gaung tersebut.

Katanya mayat Shakeera Hani dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai, katanya. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain