Malaysia Komited Pastikan Kebebasan Badan Kehakiman - Najib - Semasa | mStar

Malaysia Komited Pastikan Kebebasan Badan Kehakiman - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia komited untuk melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman.

Beliau berkata badan kehakiman yang bebas merupakan komponen teras demokrasi, dan satu daripada intipati paling penting bagi pencapaian negara.

"Melindungi dan memastikan kebebasan berterusan badan kehakiman merupakan suatu keutamaan yang Malaysia benar-benar komited. Boleh dikatakan Badan Kehakiman Malaysia telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka.

"Tiga dekad pertama selepas kemerdekaan adalah bebas daripada pergolakan tetapi pada akhir 1980-an telah menyaksikan perubahan besar dan kontroversi, yang telah mendapat banyak kritikan daripada awam dan spekulasi. Kemerosotan keyakinan awam terhadap badan kehakiman diperakui dan langkah segera telah diambil untuk memperkukuhkan dan melindungi kebebasan badan kehakiman," katanya pada perasmian Persidangan Majistret dan Hakim Komanwel 2011 (CMJA), di sini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Turut hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Najib juga berkata akauntabiliti badan kehakiman juga banyak membantu membina keyakinan dalam sistem dan terhadap para hakim.

"Tujuannya ialah untuk meningkatkan dan memantapkan pentadbiran keadilan dan akses kepada keadilan. Meningkatkan dan menggalakkan pembangunan berterusan kemahiran badan kehakiman bagi meningkatkan prestasi badan kehakiman, serta memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan dan memastikan sistem penyampaian yang telus, efisien dan cepat, dicapai.

"Memantapkan badan kehakiman sebagai sebuah institusi merupakan proses evolusi berterusan. Di Malaysia, yang penduduknya terdiri daripada berbilang kaum, adalah amat penting bagi mahkamah memenuhi keperluan setiap warganegaranya, dengan melakukan penambahbaikan dan meningkatkan akses kepada keadilan. Kami telah melakukan pembaharuan komprehensif yang telah dapat meningkatkan tahap keefisienan mahkamah di Malaysia secara drastik.

"Pembaharuan badan kehakiman di masa depan adalah amat penting untuk memastikan ekonomi negara mengalami pertumbuhan berterusan dan untuk melindungi kebebasan sivil penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan menganut pelbagai agama.

"Saya percaya forum ini akan memberikan persekitaran yang baik bagi dialog antara badan kehakiman untuk bertukar-tukar pandangan, pengalaman dan idea mengenai bagaimana pluralisme boleh terus wujud dalam bidang kuasa kita tanpa menimbulkan konflik.

"Ringkasnya bagaimana untuk membina pendekatan positif dan konstruktif terhadap pluralisme di masa depan. Mungkin pendekatan bersama boleh diwujudkan, jika pun bukan pemulihan bersama," katanya.

Sementara itu, objektif persidangan ini ialah meningkatkan persefahaman antara pegawai badan kehakiman di semua peringkat dalam negara Komanwel mengenai pelbagai isu, membincangkan pelbagai pendekatan terhadap isu-isu berbeza di semua negara Komanwel, memastikan penguatkuasaan undang-undang di semua negara Komanwel dan berkhidmat kepada semua rakyat Komanwel.

Topik yang dibincangkan termasuk trend masa kini dalam bidang Resolusi Pertikaian Alternatif, Undang-undang Korporat dan Komersil, Hak Asasi Manusia, Etika Undang-undang & Badan Kehakiman, Undang-undang Keluarga, Akauntabiliti & Kebebasan Badan Kehakiman dan topik berkaitan undang-undang kontemporari yang lain.

Sebanyak 320 peserta dari 32 negara mengambil bahagian dalam persidangan empat hari itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain