suria

Operasi Pusat Sembelihan Babi Perlu Kelulusan Menteri Pertanian

ALOR SETAR: Pusat penyembelihan babi yang baru di Sungai Tok Pawang Mukim Semeling di Kuala Muda hanya boleh beroperasi selepas mendapat kelulusan Menteri Pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar, Basmi Kemiskinan Negeri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata pusat penyembelihan baru menggantikan tapak lama di kampung Berjaya di sini itu membabitkan tanah seluas 3.5 hektar.

"Projek ini adalah JV (usahasama) persatuan penyembelih dan individu-individu tertentu, kerajaan negeri hanya membantu mencari tapak menganggantikan pusat yang lama.

"Kerajaan negeri juga tidak memberi sebarang peruntukan kerana ia adalah projek swasta dan ia hanya boleh beroperasi selepas Menteri Pertanian memberi izin," katanya pada persidangan dewan undangan negeri di sini, isnin.

Beliau menjawab soalan Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) yang memohon penjelasan mengenai status pembinaan pusat penyembelihan itu dan persoalan mengenai peruntukan bagi projek berkenaan.

Amiruddin berkata setelah pusat berkenaan beroperasi kelak, ia akan dipastikan mengamalkan sistem 'zero-discharge' dan sisa kumbahan perlu dikitar semula untuk kegunaan dalam ladang bagi mengelakkan pencemaran di kawasan sekitar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan Negeri, Tan Chow Kang ketika menjawab soalan Datuk Md Roshidi Osman (Pas-Bukit Pinang) mengenai masalah pengangkutan awam di negeri ini berkata, beliau berhasrat menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi laluan Alor Setar ke Kuala Kedah.

Tan berkata, pihaknya juga meminta sedikit masa untuk memperbaiki mutu dan memperkemas sistem perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain