suria

Polis Malaysia Membisu Dalam Soal Ekstradisi Michael Soosai

CHENNAI: Sikap membisu polis Malaysia berhubung ekstradisi penjenayah lick dari Malaysia, Michael Soosai, yang dalam tahanan di India, telah menimbulkan banyak persoalan.

Sejak ditangkap pada Ogos tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia masih belum memohon perintah ekstradisi Soosai, 53, yang dikehendaki di Malaysia kerana beberapa siri penipuan yang membabitkan hampir RM1 juta.

Dia juga didakwa menculik dan membunuh seorang pemandu lori berasal dari Malaysia, N Subramaniam, di Cheyyur, daerah Kancipuram, di selatan India, pada 2002 berikutan perbalahan keluarga.

Konsul Besar Malaysia di sini, Anuar Kasman, berkata bahawa pihaknya telah beberapa kali menulis surat kepada pihak berkuasa di Malaysia berhubung suspek itu, yang dipercayai Michael Soosai, yang ditangkap di sini.

"Namun kami belum menerima sebarang arahan dari Malaysia bagi tindakan susulan dalam kes ini. Polis India dan peguam suspek juga berjumpa dengan kami dalam hal ini," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Sikap mendiamkan diri oleh polis Malaysia agak membingungkan walaupun Soosai tersenarai dalam orang dikehendaki oleh polis antarabangsa (Interpol) sejak beberapa tahun.

Soosai amat dikehendaki polis Malaysia sejak awal 2000 kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 17 kes jenayah kolar putih, kebanyakannya melibatkan pemalsuan cek bernilai lebih RM1 juta.

Lelaki kelahiran Pulau Pinang itu pernah memalsukan kematian sendiri di Malaysia untuk menuntut wang insurans dan kemudian melarikan diri ke selatan India.

Beliau hidup dalam buangan hampir 10 tahun dengan menjadikan selatan India sebagai pangkalannya dan menjalankan aktiviti jenayah merentasi negeri, kebanyakan menipu wang, barang kemas dan kenderaan mewah milik rakyat India.

"Saya pasti belum ada sebarang permohonan dari polis Malaysia mengenai penyerahan balik orang ini. India dan Malaysia adalah negara Komanwel dan ada perjanjian ekstradisi," kata peguam Soosai, M Shreedhar.

"Selain itu, sekiranya dia dalam senarai Interpol, kenapa polis Malaysia belum memohon untuk menahannya," katanya.

Selepas memburu sekian lama, polis Andhra Pradesh di selatan India menangkap Soosai, bersama isteri dan dua anaknya, di sebuah hotel di sini tahun lepas.

Soosai, yang didakwa atas pelbagai kes penipuan, kini ditahan di Penjara Pusat Chennai.

Pada Januari 2010, Malaysia dan India telah menandatangani perjanjian ekstradisi bagi menangani jenayah merentasi sempadan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain