suria

Tidak Perlu Bagi Presiden MIC Mempengerusi MIED - Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Tidak perlu bagi Presiden MIC mempengerusikan Maju Institute of Educational Development (MIED) walaupun institut itu adalah cabang pendidikan parti itu, kata bekas Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Samy Vellu berkata, selaku Pengerusi MIED, beliau akan terus memegang jawatan itu selagi beliau aktif dan sihat.

"Memang saya berusia 75 tahun sekarang...saya harap begitu. Biar saya lihat sama ada kesihatan saya akan berterusan selama dua atau tiga tahun ini," kata beliau selepas melancarkan modul Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 di sini Rabu.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan.

Samy Vellu juga menggesa parti itu bekerjasama rapat dengan MIED demi memperbaiki prestasi pelajar Tamil di seluruh negara.

"Kami menjangkakan kira-kira 900 pelajar mencapai 7A dalam peperiksaan UPSR tahun ini berbanding 807 tahun lepas," kata beliau.

Samy Vellu juga menyatakan bahawa standard sekolah Tamil telah meningkat dengan baik sejak 2003 oleh kerana MIED terus berusaha mengedar buku-buku yang mengandungi modul UPSR setiap tahun.

Tiap seorang dari sejumlah 17,944 pelajar darjah enam dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan menerima lima buah buku modul UPSR.

Sebanyak 2,000 naskah buku pula akan dibekalkan kepada guru-guru di 521 sekolah Tamil di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain