suria

Tidak Perlu Tergesa-Gesa Laksana GST - Idris

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

"Malah, jika semua pihak bersetuju terhadap pelaksanaannya, pelaksanaan sepenuhnya GST masih memerlukan sekurang-kurangnya 18 bulan," kata Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Walaupun terdapat banyak perkara positif berkaitan GST, beliau memberi jaminan bahawa tumpuan kini ialah melibatkan dan mendidik orang ramai mengenainya.

"(Namun), kita tidak mempunyai tempoh masa untuk melaksanakannya, dan kami dalam proses melibatkan diri dengan orang ramai," katanya, yang menambah 143 negara sudah melaksanakan GST.

Idris berkata GST tidak akan memberi impak ke atas golongan berpendapatan rendah memandangkan kebanyakan produk asasi seperti makanan, barangan komoditi dan perkhidmatan, dikecualikan atau sifar cukai.

Pada pengumuman mengenai perkembangan terkini ketujuh Program Transformasi Ekonomi (ETP) hari ini, Pemandu mengumumkan enam inisiatif reformasi strategik (SRI) dengan GST dimasukkan dalam SRO Kewangan Awam.

Antara cadangan lain, Pemandu mengesyorkan kerajaan mengetatkan perbelanjaan, perbelanjaan perjalanan dan pemindahan pembayaran kepada badan berkanun.

Bagi meningkatkan ketelusan dalam proses pemerolehan kerajaan, Idris berkata kerajaan telah mengurangkan had nilai sebut harga dan tender menerusi e-pembidaan daripada RM200,000 kepada RM50,000.

Perakaunan akruan juga akan dilaksanakan bagi memastikan kecekapan, ketelusan dan pengurusan fiskal yang berkesan yang seterusnya akan menyokong kemampanan dasar fiskal negara, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain