suria

Program Rumah Berkualiti Besar-Besaran Jika BN Tadbir Kelantan - PM

KOTA BAHARU: Kerajaan akan melaksanakan program perumahan berkualiti secara besar-besaran di Kelantan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan BN mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek seumpama itu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

"Jika BN memerintah program rumah besar-besaran kita akan buat untuk rakyat Kelantan.

"Malahan hari Isnin ini ambo (saya) akan rasmi program perumahan yang berkualiti di Putrajaya. Kalau boleh buat di Putrajaya apatah lagi di Kelantan," katanya semasa berucap di hadapan 10,000 warga Kota Baharu pada majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Wisma Persekutuan, di sini malam Sabtu.

Najib berkata beliau menyaksikan sendiri kedaifan rumah rakyat Kelantan yang membuktikan betapa isu perumahan menjadi antara permasalahan utama penduduk negeri itu.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin. Najib juga berkata beliau rasa bertanggungjawab untuk memajukan rakyat Kelantan dan janji itu akan ditunaikan.

Malahan kejujuran kerajaan BN memajukan Kelantan terbukti dengan peruntukan Rancangan Malaysia (RMK) Kesembilan berjumlah RM6 bilion dan di bawah RMK-10 sejumlah RM2.5 bilion diperuntukkan setakat ini, katanya.

Najib juga menjelaskan kenyataan kerajaan PAS Kelantan bahawa negeri itu berhak menerima RM1 bilion daripada royalti minyak sekadar dakwaan kerana menurut Petronas jumlah sebenar daripada hasil gas hanyalah RM21 juta.

Perdana Menteri turut berkata beliau merasai angin perubahan di Kelantan apabila ramai rakyat negeri itu menyertai majlis yang dihadirinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain