suria

Kelantan Cukup Ramuan Untuk Jadi Negeri Maju - PM

KOTA BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Kelantan boleh menjadi sebuah negeri yang maju pada masa depan kerana negeri tersebut mempunyai "cukup ramuan" untuk ke arah itu.

Beliau berkata bagaimanapun untuk memastikan hasrat tersebut tercapai, Kelantan mesti mempunyai hala tuju yang tepat.

"Kita percaya ini (Kelantan) negeri bertuah yang bukan sahaja boleh maju dalam sukan bola sepaknya tetapi juga mahu Kelantan berjaya dalam bidang sosial dan ekonomi.

"Kita tidak mahu ada mana-mana negeri yang terkecuali dalam mendapat manfaat kesan transformasi negara dan kita sudah sedia 'road map' untuk membawa negara keseluruhannya ke era negara maju," katanya ketika berucap pada program "Mari Berjumpa, Mari Berhubung Bersama Datuk Seri Najib Tun Razak", di sini Sabtu.

Kira-kira 100 rakan Facebook beliau di negeri ini hadir pada pertemuan itu yang turut disertai Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Ini adalah pertemuan keenam Najib bersama rakan 'online' beliau yang sebelum ini diadakan di Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Terengganu dan Sabah.

Pada pertemuan itu Najib turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan rakan laman sosialnya termasuk yang berbentuk peribadi.

Perdana Menteri juga memberitahu bahawa sehingga kini beliau mempunyai 760,000 rakan Facebook dan 160,000 lagi menerusi Twitter.

Najib turut melahirkan rasa gembira pada lawatannya ke Kelantan hari ini apabila kehadiran beliau di beberapa tempat seperti di Pasir Puteh dan Machang mendapat sambutan yang luar biasa.

"Di Pasir Puteh (pada sebelah pagi) lebih 20,000 hadir manakala di Machang tidak kurang 15,000 orang yang menghadirinya dan ini sambutan yang di luar dugaan," katanya.

Malam ini Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia yang diadakan di perkarangan Wisma Persekutuan di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain