suria

Beberapa Lokasi Dikenal Pasti Untuk Tapak Baru Rumah Anak Yatim Al-Taqwa

PUTRAJAYA: Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia, iaitu pihak yang menguruskan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh Mei lalu telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk didirikan penempatan baru bagi warga rumah anak yatim itu.

Setiausaha persatuan tersebut Mohamad Fauzi Abd Wahab berkata lokasi berkenaan ialah di sekitar Hulu Langat.

"Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat terlebih dahulu bagi memastikan bangunan yang akan dibina nanti bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan bernilai RM51,042.05 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang disampaikan Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini Jumaat.

Beliau berkata pada masa ini, kesemua 20 penghuni yang telah pulang ke asrama tinggal di penempatan sementara di Pusat Latihan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Hulu Langat, manakala empat lagi dijaga oleh waris masing-masing.

Ada di antara mereka masih trauma dengan kejadian itu dan rawatan kaunseling diteruskan dengan bantuan pakar kaunseling dari Hospital Selayang dan hospital-hospital lain yang sudi menawarkan khidmat, katanya.

Mohamad Fauzi berkata sumbangan yang diterima setakat ini masih belum mencukupi untuk membina penempatan baru itu.

Justeru katanya, mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 5641 3730 0901 atas nama Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia.

Dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat pada 21 Mei lalu, 16 nyawa telah terkorban manakala sembilan lagi cedera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain