suria

Tindakan Tegas Terhadap Individu Sertai Bersih - Ismail Omar

KUALA LUMPUR: Polis akan bertindak mengikut lunas undang-undang terhadap sesiapa yang boleh mengancam keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata tindakan akan diambil tanpa mengambil kira sebarang kenyataan atau andaian pihak lain terhadap tindakan pihak polis termasuk oleh pemimpin pembangkang.

"Pihak pembangkang atau sesiapa pun yang hendak buat andaian masing-masing, buatlah, tetapi saya hendak ingatkan mereka jika ada kata-kata atau sesuatu perbuatan yang tergolong dalam kesalahan, ini akan membolehkan kami bertindak," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Rabu.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang kononnya polis akan mengeluarkan perintah darurat pada 9 Julai ini sekiranya perhimpunan haram diadakan.

Ismail berkata polis mempunyai strategi tertentu yang boleh diguna pakai untuk menjaga keselamatan dan memastikan keamanan negara berkekalan.

"Adalah menjadi keprihatinan saya bagi memastikan kehidupan masyarakat dilindungi, kami akan memainkan peranan kami sebagai pelindung masyarakat. Kita kena jaga undang-undang," tegasnya.

Beliau berkata pihaknya telah menerima 1,830 laporan polis dari seluruh negara yang membantah perhimpunan haram itu manakala seramai 101 orang telah ditangkap dan daripada jumlah itu 45 orang masih ditahan atas beberapa kesalahan tertentu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata dua warga asing masing-masing dari Filipina dan Korea yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan haram telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya kedua-dua mereka dibebaskan selepas polis selesai merakamkan siasatan namun mereka belum dihantar pulang memandangkan siasatan masih lagi berjalan.

Menurutnya kedua-dua mereka masih dalam pemerhatian polis. Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai identiti serta peranan kedua-dua individu tersebut dalam perhimpunan haram itu kelak.

Pada 25 Jun lepas, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Jeyakumar Devaraj adalah antara 32 individu termasuk dua rakyat asing itu ditahan ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth ketika dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Pulau Pinang bagi mempromosi perhimpunan haram itu.

Mohd Bakri berkata dengan pembebasan rakyat asing itu, 30 individu tersebut masih ditahan untuk siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain