suria

BN Perkenalkan Calon Lebih Muda Pada PRU Akan Datang - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan memperkenalkan calon yang lebih muda pada pilihan raya umum akan datang agar kerajaan mempunyai lebih ramai pemimpin muda.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi muda akan memberikan mandat baru kepada BN pada pilihan raya umum ke-13 ini untuk membentuk sebuah kerajaan yang akan mengimbangi antara pemimpin yang tua dan muda.

"Kerajaan memerlukan orang muda dan kita percaya mereka boleh menjadi pemimpin yang baik...ini akan mengimbangi antara kumpulan tua dengan yang muda.

"Saya tidak boleh membuat perubahan sekarang, tetapi apabila kita dapat mandat baru kita akan membuat perubahan itu," katanya menjawab satu soalan sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk melantik lebih lima anggota kabinet yang berumur kurang 50 tahun.

Kira-kira 500 anggota Korporat Muda Malaysia (YCM) menghadiri majlis Sepetang dengan Perdana Menteri yang bertemakan "Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi". YCM yang ditubuhkan pada Januari 2008 oleh sekumpulan profesional muda dengan objektif membina satu rangkaian profesional muda menerusi pelbagai informatif dan acara sosial yang memanfaatkan anggotanya.

Ditanya oleh seorang peserta bila kerajaan akan mengadakan pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Kita masih lagi ada mandat, ia boleh diadakan bila-bila masa...tetapi ia mesti diadakan sebelum Mac 2013 apabila mandat untuk kita berakhir".

Najib juga menjemput belia-belia Malaysia menyertai beliau dalam membuat pembaharuan negara ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. - BERNAMA

Artikel Lain