suria

APMM Tahan 2 Kapal Lakukan Pelbagai Kesalahan

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal gagal melaporkan ketibaan di perairan Malaysia dan salah satunya sedang leka melakukan kerja-kerja kimpalan tanpa kebenaran di perairan Pengerang, Kota Tinggi di sini, pada Isnin.

Kapal MT Suppass Star dan MV Accares 1 yang berdaftar di dalam negara ini ditahan pada pukul 11.15 pagi dan 12.15 tengahari di dua lokasi berasingan kira-kira 1 hingga 1.2 batu nautika Tenggara Tanjung Stapa, Kota Tinggi.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua kapal berkenaan ditahan ketika KM Manjung melakukan rondaan rutin di perairan itu berjaya mengesan mereka yang dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, pemeriksaan pertama ke atas kapal MT Suppass Star pukul 11.15 pagi mendapati kapal tersebut sedang melakukan kerja-kerja kimpalan (Hot Work), gagal melaporkan ketibaan kapal dan bersauh tanpa kebenaran.

"Lebih kurang jam 12.15 tengahari sebuah lagi kapal berjaya ditahan APMM yang melakukan kesalahan yang sama iaitu gagal melaporkan ketibaan di perairan Malaysia dan gagal membayar dius api.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua kapal membawa seramai 14 kru warga asing dan warga tempatan termasuk 10 Indonesia dan empat Malaysia.

"Buat masa ini kapal bersama kru ditahan di lokasi tersebut sementara ketua jurutera, dokumen kapal dan kru dibawa bersama ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan di Johor Bahru bagi tujuan pemeriksaan lanjut," katanya.

Zulkifili berkata, kedua-dua kapal akan disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance (MSO) 1952 Sek 491B(1)(l) dan Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia, gagal membayar dius api dan menjalankan kerja-kerja kimpalan tanpa kebenaran.

"Jika sabit kesalahan, pemilik kedua-dua kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.

Artikel Lain