suria

MB Terengganu Kecewa Stadium Runtuh Belum Dibaiki

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa kerana kajian terhadap Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh lebih dua tahun lepas masih belum siap.

Katanya Jabatan Kerja Raya pernah memaklumkan bahawa kajian oleh perunding akan siap pada bulan Jun ini.

"Tetapi apabila mesyuarat minggu lepas, saya dimaklumkan kerja-kerja kajian diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lepas (Mei) dan ia dijangka siap pada September depan.

"Saya merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya kecewalah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort di sini sempena program sukan tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima hari mulai 5 Julai ini.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lepas setelah bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.

Mengenai program sukan Serikandi itu, Ahmad berkata, lebih 500 isteri wakil-wakil rakyat terlibat dalam dua permainan iaitu badminton dan boling.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka hadir pada hari terakhir kejohanan itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain