suria

IPT Perlu Ada Identiti Sendiri - Saifuddin

GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mempunyai identiti sendiri dalam bidang ilmu yang ditawarkan.

Beliau berkata ini penting bagi mengelak berlaku penjajahan ilmu oleh negara barat khusus bagi IPT yang mempunyai kolaborasi dengan IPT dari negara barat. "Mempunyai ilmu yang ada identiti sendiri penting bagi memastikan bidang ilmu yang disediakan bersesuaian dengan keperluan budaya setempat dan bukannya semata-mata meniru ilmu yang di bawa dari barat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai penjajahan universiti di sini, Isnin.

Persidangan dua hari tersebut yang berakhir esok dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Malaysia, Citizen International dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi yang membentangkan 27 kertas kerja.

"Hal ini tidak bermakna kita (Malaysia) tidak mahu mengadakan kerjasama dengan universiti di barat tetapi kita juga perlu ada identiti sendiri yang melambangkan keindahan budaya masyarakat setempat," kata Saifuddin. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain