suria

Penyeludupan Pasir Kembali

JOHOR BARU: Selepas terhenti beberapa bulan, kegiatan penyeludupan pasir kembali bergiat aktif di negeri ini.

Pencuri pasir ini kembali dengan kegiatan melombong pasir secara haram melibatkan kos bernilai jutaan ringgit sebelum mengeksportnya ke Singapura.

Pencuri pasir ini bergiat aktif di sepanjang Sungai Johor tanpa mempedulikan amaran Kerajaan Pusat yang tidak membenarkan eksport pasir ke luar negara berkuat kuasa tahun lepas.

Sebelum ini, Starprobe pernah melaporkan aktiviti haram ini bermula dari sebuah jeti di Kota Tinggi hingga Ulu Tiram sejauh 20 kilometer sebelum pasir tersebut dimuatkan ke dalam lori selepas proses pencucian dijalankan.

Selepas itu, pasir ini akan diangkut dengan menggunakan beberapa tongkang dengan setiap satunya mempunyai kapasiti 4,000 tan.

Lebih memburukkan keadaan adalah tongkang-tongkang ini telah didaftar di Singapura.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati aktiviti mengangkut pasir dilakukan pada waktu siang sementara proses pencucian dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan aktiviti haram itu dikesan oleh pihak berkuasa.

Bukan itu sahaja, pasir yang telah siap diproses ini ditempatkan di sekurang-kurangnya enam kawasan sebelum ia dimuatkan ke dalam tongkang yang terdapat di jeti yang disediakan.

Tongkang ini kemudiannya dilihat menurunkan pasir berkenaan di sebuah pulau di Singapura yang dikenali sebagai Pulau Punggol Timur dengan tahap keselamatannya sangat ketat.

Difahamkan sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura bertanggungjawab mendapatkan pasir dari Malaysia bagi membekalkan pasir untuk industri pembinaan di republik berkenaan.

Berdasarkan temu bual dengan beberapa pihak berkuasa mendedahkan bahawa kegiatan mencuri pasir tersebut berkait rapat dengan orang kenamaan.

Mereka didakwa sering menggunakan nama-nama personaliti berpengaruh daripada kerajaan negeri apabila berurusan dengan pihak berkuasa tempatan termasuk pejabat daerah.

Seorang pegawai di Pejabat Daerah Kota Tinggi berkata terdapat tiga syarikat yang diberi lesen untuk menjalankan aktiviti melombong pasir di sepanjang Sungai Johor namun ia hanyalah untuk kegunaan domestik sahaja.

Permit tersebut akan tamat pada 31 Disember ini dan mereka hanya dibenarkan menjalankan aktiviti itu ketika waktu pejabat sahaja. Pada 24 Jun tahun lepas, The Star dalam laporan muka depannya telah menyiarkan sebuah artikel mengenai aktiviti penyeludupan pasir di Sungai Johor yang telah berlanjutan lebih daripada tiga tahun.

Agensi kerajaan termasuk Jabatan Kastam, polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Tanah dan Galian serta beberapa agensi penguatkuasa lain telah menjalankan operasi gabungan secara besar-besaran.

Dalam operasi tersebut mereka berjaya merampas beberapa buah tongkang yang dipercayau telibat dengan aktiviti haram mengeksport pasir ke Singapura.

Mereka yang didapati terlibat telah didakwa di mahkamah. Bagaimanapun, aktiviti haram tersebut didapati menjalankan operasi mereka beberapa bulan kemudian.

Kerajaan telah berulangkali memberi amaran tehadap usaha membanteras penyeludupan pasir dan melabelkannya sebagai jenayah serta satu ancaman kepada keselamatan negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain