suria

APMM Rampas Rokok Seludup Bernilai RM300,000 di Kuala Jerlun

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama bernilai RM40,300 dengan nilai cukai RM300,000 di Kuala Jerlun, Air Hitam dekat sini, awal pagi Rabu.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Satu Langkawi Kept Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata ketika kejadian kira-kira 2.15 pagi, bot ronda APMM mengesan sebuah bot yang dinaiki dua suspek bergerak laju dari tengah laut menghala ke jeti Kuala Jerlun.

"Kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran pihak APMM bertindak memecut bot dan dikejar pihak APMM selama 10 minit sebelum bot suspek terkandas di pintu masuk Kuala Jerlun ekoran air laut surut.

"Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri melalui persisir pantai ke kawasan belukar berdekatan," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Pangkalan Kuala Kedah dekat sini, Khamis.

Hasil pemeriksaan dalam bot gentian kaca itu menemui 155 bungkusan yang dibalut dengan plastik merah dan hitam mempunyai 3,100 kartun rokok pelbagai jenama disorokkan pada bahagian bawah bot bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Abdul Rahim percaya rokok yang dirampas dipercayai di seludup dari Pulau Langkawi oleh satu sindiket untuk pasaran tempatan sekitar negeri ini.

Antara jenama rokok yang dirampas adalah John King (1,460 kartun), John Limited (280 kartun) dan Virginia Blend (1,360 kartun).

APMM turut merampas bot gentian kaca yang digunakan suspek berkenaan bernilai RM15,000.

Abdul Rahim berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Kastam, yang jika sabit kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya. -BERNAMA

Artikel Lain