suria

Kos Loji Tanjung Bin Akan Diumum Selepas Jawapan Rasmi Transpool

MIRI: Kos pembangunan loji janakuasa 1,000 Megawatt (MW) menggunakan arang batu di Tanjung Bin, Johor, akan diumumkan selepas Transpool Sdn Bhd, yang memperoleh projek itu secara rasmi bersetuju melaksanakan projek berkenaan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata syarikat itu mempunyai tempoh sehingga 1 Julai untuk memberi jawapan sama ada menerima projek itu.

Bercakap kepada pemberita di sini malam tadi, beliau berkata Transpool merupakan antara pembida yang disenarai pendek untuk melaksanakan projek itu yang meliputi reka bentuk, membekal, menjayakan, mengurus operasi dan menyelenggara loji janakuasa terbabit, yang dijadual memulakan operasi pada 1 Mac, 2016.

Beliau berkata loji janakuasa Tanjung Bin, bersama satu lagi loji janakuasa menggunakan arang batu di Manjung, Perak, akan membekalkan kapasiti tambahan 2,000 MW untuk memenuhi keperluan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia.

Bekalan tenaga yang dijana oleh kedua-dua loji janakuasa itu akan berupaya memenuhi permintaan untuk tempoh lebih daripada lima tahun akan datang, katanya.

Sementara itu, MMC Corporation Bhd dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, berkata Transpool, anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Bhd, telah menerima tawaran bersyarat untuk melaksanakan pembinaan dan pembangunan loji janakuasa Tanjung Bin.

Malakoff ialah anak syarikat MMC, dengan penguasaan 51 peratus kepentingan. - BERNAMA

Artikel Lain