suria

Portal 1Pengguna Capai 3.5 Juta Hits Selepas Dua Hari Dilancar

PETALING JAYA: Portal www.1pengguna.com yang mempamerkan maklumat harga barangan pengguna yang dijual di 1,255 premis perniagaan mengalami sedikit masalah kerana terlalu ramai yang melayarinya sejak dilancarkan Selasa lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, portal itu menerima hits yang mencecah 3.5 juta sehingga menyebabkan server portal berkenaan terjejas.

Katanya, kementerian pada mulanya hanya menyasarkan untuk menerima kira-kira 300,000 hits sahaja dalam minggu pertama selepas pelancaran namun sambutan yang diterima sebaliknya 'begitu memberangsangkan dan di luar jangkaan'.

"Dulu kita gabungkan sekali portal dalam satu sistem. Kerana sudah terlalu banyak, kita pecahkan untuk portal tertentu supaya ia dapat menampung hits yang tinggi, jadi pada hari ini semua sudah kembali normal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Akademi Peruncitan di Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) di sini Khamis.

Ismail Sabri, yang berjanji untuk terus memperbaiki kelemahan pada portal tersebut, berkata pengguna juga mungkin berdepan beberapa lagi masalah pada peringkat awal operasi portal, seperti capaian yang perlahan dan kesukaran melayari serta kekurangan maklumat.

Portal itu mempamerkan harga 355 jenis barangan di hipermarket, 100 jenis barangan di pasar raya, pasar basah (50 jenis) dan kedai serbaneka (100 jenis). Sebarang perubahan harga akan dikemas kini secara harian.

Pembangunan fasa pertama portal itu melibatkan kos RM1.4 juta.

Mengulas kritikan sesetengah pihak ketika beliau bersembang (chat) bersama pengguna di laman web itu semalam, Ismail Sabri kesal kerana portal yang dibangunkan untuk membantu rakyat memantau harga barang sebaliknya digunakan untuk mengecam kementerian dan membuat tuduhan melulu.

Ada di antara mereka yang membuat tuduhan tidak berasas kononnya portal itu diwujudkan tanpa ada proses pemberian tender yang telus sehinggalah kepada tuduhan bahawa harganya terlalu mahal mencecah RM1.4 juta, katanya.

"Saya anggap chat semalam hanya merugikan masa, ia sepatutnya digunakan untuk bertukar pendapat berkenaan isu kepenggunaan Saya duduk satu jam di depan portal semalam untuk menjawab isu-isu itu.

"Sebaliknya, masa saya banyak dihabiskan untuk beri penjelasan isu RM1.4 juta sahaja, saya terpaksa juga menjelaskan tuduhan bahawa portal ini dibangunkan secara tidak betul," katanya.

Ismail Sabri menjelaskan portal itu dibangunkan mengikut prosedur biasa seperti mengiklan tawaran tender dalam surat khabar, syarikat dipilih melalui Jawatankuasa Pemilihan Tender dan syarikat dipilih adalah yang terbaik.

Sementara itu pada majlis berkenaan, beliau berkata kerajaan dengan kerjasama MKM sudah mula memberi pendidikan dan bimbingan kepada peruncit serta peniaga seluruh negara tentang perkara berkaitan pengurusan perniagaan dalam bentuk kursus jangka pendek selama tiga hingga empat hari.

Sejak dimulakan tahun ini, kursus Akademi Peruncitan telah diadakan di Johor Baharu dan Kuantan melibatkan 71 peserta sebelum diperluaskan ke seluruh negara melibatkan enam kursus kesemuanya.

Ismail Sabri berkata bagi peringkat pertama, modul yang dijalankan ialah berkaitan peruncitan, restoran dan katering serta perniagaan pelancongan inap desa. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain