suria

Remaja Lemas Selepas Terjatuh Ke Dalam Kolam Ikan

KAMPAR: Seorang remaja lelaki mati lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ikan ketika sedang memancing di kolam berkenaan di Mambang Diawam, di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kampar Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata mayat Choo Mun Kit, 16, yang berasal dari Taman Ros, Kampar di sini ditemui pada pukul 10.45 pagi tadi oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

"Mangsa dikatakan pergi ke kolam ikan berkenaan untuk memancing pada 7 pagi tadi bersama-sama seorang lagi rakannya Soo Chee Mun, 16. Ketika mangsa memancing, tali jorannya tersangkut dan dia cuba menarik tali tersebut lalu tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata semasa kejadian rakannya berada di dalam pondok di tepi kolam berkenaan dan apabila keluar beliau mendapati mangsa sudah tiada dan mengesyaki Choo jatuh ke dalam kolam tersebut.

Soo kemudian meminta bantuan pemilik kolam untuk menghubungi polis dan ketika pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian, mayat mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain