suria

Sarjan Tharmendran Kekal Bebas Dari Tahanan TUDM

PUTRAJAYA: Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N.Tharmendran yang ditangkap dan ditahan oleh TUDM kerana gagal hadir tugas tanpa cuti (AWOL) kini kekal bebas dari tahanan.

Keputusan itu berikutan tindakan TUDM menarik balik permohonan bagi memfailkan notis rayuan melebehi tempoh masa di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan penahanan Tharmendran itu tidak sah di sisi undang-undang.

Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, hari ini membatalkan permohonan TUDM selepas Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup memaklumkan mahkamah mengenai penarikan balik permohonan itu.

Dua hakim lain dalam panel ialah Hakim Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Pada 25 November tahun lepas, Tharmendran, 43, ditahan oleh lima pegawai dari Jabatanarah Provos Marshal TUDM di perkarangan kompleks Mahkamah Shah Alam selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 atas tuduhan bersuhabat mencuri dua enjin jet milik TUDM.

Pada hari berikutnya Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan daripada Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Di luar mahkamah, peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Tharmendran, memberitahu pemberita bahawa penahahan anak guamnya berakhir berikutan penarikan permohonan oleh TUDM.

Sementara itu, Manoj memberitahu Tharmendran sudah kembali bertugas.

Bagaimanapun, Tharmendran masih berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan bersuhabat mencuri serta melupuskan dua enjin jet pejuang milik TUDM.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Kanan Mohamad Shukri Mohamad Yusop untuk mencuri dua buah enjin pesawat F5 jenis J85-21 di dalam bangunan Material Processing Shed, MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM, Sungai Besi pada 30 April 2008.

Beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan perbicaraan masih berjalan.

Beliau berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Tharmendran juga didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM62,000 dan berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta disabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain