suria

Rang Undang-Undang Berkaitan Gaji Minimum Dibentang Di Parlimen Sesi Jun - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen 13 Jun hingga 12 Julai depan, kata Menterinya, Datuk Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata pihaknya kini dalam proses memastikan rang undang-undang berkenaan dapat dibentangkan pada sesi berkenaan dan diwartakan.

"Jika dilulus dan diwartakan nanti, majlis ini akan diberi kuasa untuk menetapkan kadar gaji mininum supaya sesuai dengan kos kehidupan pekerja dan isu lain yang diberi pertimbangan pada masa sekarang.

"Selepas diwartakan juga, ia akan menjadi kewajipan kepada majikan untuk mematuhi kadar (yang ditetapkan) dan mereka yang ingkar boleh diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Kerjaya di kampus Universiti UCSI di sini, Isnin.

Pada majlis itu, Dr Subramaniam berkata UCSI meraikan rakan usaha sama mereka yang menyediakan tempat latihan amali untuk pelajarnya.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan kehendak kerajaan agar graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak menganggur atau mendapat pekerjaan berbeza daripada apa yang dipelajari.

"Kerajaan telah memberi penekanan kepada IPT awam mahupun swasta, supaya mereka mempunyai satu program latihan amali untuk pelajar memiliki kemahiran dan pengetahuan awal yang diperlukan oleh industri sebelum bekerja," katanya.

Pesta Kerjaya UCSI yang berlangsung mulai Rabu ini sehingga Sabtu depan, menyediakan pameran dan peluang kerjaya di pelbagai bidang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain