suria

Petugas Hospital Selayang Maut Selepas Langgar Belakang Lori

KUALA LUMPUR: Seorang petugas Hospital Selayang dekat sini maut selepas melanggar belakang sebuah lori ketika dalam perjalanan dari Jalan Ipoh menghala Rawang berdekatan Pasar Borong Selayang pada Isnin.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kejadian kira-kira 8.20 pagi tadi itu menyebabkan Md Shahril Che Md Dom, 29, meninggal dunia di tempat kejadian. "Kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori yang diparkir di lorong kanan jalan telah dilanggar dari arah belakang oleh (penunggang) motosikal.

"Akibat pertembungan itu, Md Shahril cedera parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini.

Abdullah berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain