suria

JKR Diminta Kaji Dan Teliti Kawasan Tanah Runtuh - Shaziman

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja raya (JKR) diminta segera mengkaji dan meneliti kawasan cerun sekitar kawasan tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, jika terdapat ketidastabilan cerun.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor berkata kawasan itu dipercayai telah beberapa kali mengalami kejadian tanah runtuh namun tidak dilaporkan.

"Kita minta JKR pergi melihat kawasan itu...sekiranya berlaku tanda-tanda tidak stabil, kita akan beritahu pihak yang berkenaan.

"Pihak kami akan siasat. Jika ini tanah persendirian, kita akan bantu. Sekiranya di bawah bidang kuasa JKR, kita juga akan bantu," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kejadian itu Batu 14, Hulu Langat di sini, malam Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak-anak yatim itu tertimbus dalam kejadian itu.

Setakat 9 malam ini, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Shaziman berkata kementerian dan agensi berkenaan akan berusaha membantu meneliti keadaan di kawasan sekitar yang dikhuatiri akan turut berlaku kejadian tanah runtuh.

"Kejadian runtuhan biasanya berlaku perlahan-lahan...sekali, dua kali macam memberi peringatan termasuk ada tanda-tanda seperti pokok condong," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya orang awam diminta melaporkan segera jika terdapat tanda-tanda sedemikian untuk mengelak kejadian tanah runtuh.

Beliau turut menyatakan simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Asas Tani yang turut meninjau kawasan itu berkata Umno Bahagian Hulu Langat dan Kelab Putera 1Malaysia akan memberi bantuan logistik termasuk makanan dan minuman.

Noh turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit dan berterima kasih kepada mereka yang membantu pihak berkuasa menyelamatkan mangsa. - BERNAMA

Artikel Lain