suria

MCBC dan sumbangan pada pelaburan di China...

LAWATAN Perdana Menteri China, Wen Jiabao ke Malaysia April lalu telah berjaya memeteraikan beberapa perjanjian membabitkan projek tenaga, infrastruktur dan komunikasi bagi meningkat jumlah pelaburan antara kedua-dua buah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha sama itu menunjukkan komitmen berterusan antara kedua-dua negara dalam mengenalpasti peluang baru menerusi kerjasama ekonomi di samping menjana pelaburan baru. Malah beliau menjelaskan, dagangan antara Malaysia dan China meningkat pada kadar purata 20 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mencecah AS$75 bilion atau RM222.57 bilion tahun lalu. Tahun lalu juga, nilai pelaburan sebenar Malaysia ke China direkodkan pada AS$290 juta (RM870 juta) menjadikan Malaysia di tangga ke-24 sebagai sumber pelaburan asing langsung ke negara itu.

Kata perdana menteri lagi, ketika ini ramai usahawan Malaysia menjalankan perniagaan bukan sekadar bertumpu di bandar besar seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou, malah turut merangkumi beberapa bandar kecil seperti Sichuan, Shandong, Xian dan Xinjiang.

Ini telah mengimbau kembali kenangan penulis ketika berkhidmat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada tahun 2006. Kementerian ini telahpun dimansuhkan dan fungsi-fungsinya telah diserapkan ke beberapa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar Bandar dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketika Kementerian Pembangunan Usahawan ini masih wujud, sebuah badan NGO yang dikenali sebagai Majlis Dagangan Malaysia-China (MCBC) dan Majlis Amanah Rakyat atau MARA sangat aktif dalam membawa usahawan-usahawan Malaysia untuk melabur di China dan memasarkan produk Malaysia di negara itu. Malah boleh dikatakan setiap tahun, bengkel tentang peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di China diadakan dengan kerjasama pihak kementerian, MARA dan juga MCBC.

Apa yang menarik tentang bengkel itu dan MCBC ialah, ia bukan sekadar menjadi jambatan dalam mempertingkatkan penyertaan usahawan Malaysia di China tetapi juga memperkatakan tentang cabaran-cabaran dan prospek produk yang mampu membuat impak di China, peranan Matrade dalam membantu para usahawan Malaysia dalam memasarkan produk mereka di Negeri China, masalah-masalah lazim yang dihadapi oleh usahawan Malaysia di China dan sesi yang paling menarik ialah perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh para peniaga apabila berurusan dengan kerajaan pusat dan kerajaan wilayah di China.

Malah bengkel itu juga turut membawa usahawan-usahawan dan syarikat Malaysia yang telah bertapak di China seperti Parkson, Lion Industries, Sime Darby, UMW Oil and Gas serta Pasaraya Mydin untuk bercakap dalam satu sesi berkaitan dengan pengalaman dan kejayaan mereka membuka outlet dan sayap di negara berkenaan. Daya usaha yang diambil oleh MCBC sangat berguna dan dimanfaatkan dengan berkesan oleh para usahawan Malaysia yang berminat untuk memasuki pasaran China yang begitu besar.

Kini setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dibubarkan, penulis tidak pasti apakah MCBC masih aktif menganjurkan seminar, bengkel dan program yang membawa usahawan-usahawan baru Malaysia ke China. Kelebihan MCBC ialah daya usahanya bersifat multi-racial malah ia cenderung untuk mengabungkan usahasama antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera sama-sama menerokai peluang-peluang perniagaan di China khususnya dalam industri produk halal kerana prospek untuk berjaya adalah lebih besar jika usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera bergabung. Ini kerana di China, warganya yang beragama Islam sahaja melebihi 20 juta orang.

Moga-moga MCBC tidak turut terbubar sepertimana Kementerian Pembangunan Usahawan...

Kenapa beli rumah kemudian roboh dan bina yang baru...

Ini juga menimbulkan banyak persoalan di kalangan jiran-jiran penulis. Baru-baru ini ketika sedang duduk berbual, mereka memperkatakan tentang seorang jiran baru yang telah membeli rumah end lot lalu merobohkan kesemua struktur asal rumah berkenaan dan membina rumah baru dengan tingkat yang lebih tinggi dan keluasan yang lebih lebar dari rumah asal. Oleh kerana dia membeli rumah tepi yang memiliki tanah yang luas, dia mempunyai kelebihan untuk membesarkan rumah barunya itu. Tetapi kenapa harus merobohkan keseluruhan struktur asal dan membina yang baru. Jadi dia membeli rumah itu bukan kerana dia meminati rekabentuk rumah yang baru dibelinya itu, tetapi kerana dia inginkan sebuah tapak untuk dibina reka bentuk yang baru.

Ini menunjukkan, dia membeli rumah itu bukan kerana tertarik dengan reka bentuk rumah berkenaan tetapi kerana ingin membina sebuah rumah baru mengikut citarasanya. Maka penulis pun bertanya, jika jiran baru kami itu memiliki wang yang sebegitu banyak kenapa tidak dibeli sahaja kediaman baru seperti banglo yang lebih besar yang sedang dibina di fasa baru tidak jauh dari kejiranan ini. Atau lebih baik dia membeli tanah lot dan membina rumah banglo mengikut citarasanya sendiri sebagaimana yang sedang dilakukannya sekarang. Nampaknya polemik ini telah menimbulkan misteri yang tidak terjawab. Namun begitu seorang lagi jiran mencelah dengan memberikan ulasan yang logika dan masuk akal. Penulis tidak akan menyatakan jawapan itu di sini. Pembaca boleh membuat tafsiran sendiri atau cuba untuk mencari jawapannya sendiri.

Encik boleh buang di sini...

TIGA hari lalu, ketika menggunakan salah sebuah laluan tol di Lembah Klang, penulis terkejut apabila pekerja di kaunter tiket berkata begini: “Tak apa...Encik boleh buang resit bayaran tol di sini...” Dia berkata demikian sambil memberi isyarat supaya penulis membuang resit tol berkenaan di atas jalan. Insiden ini berlaku setelah penulis memulangkan semula resit bayaran tol itu kepadanya. “Cik, tolong buangkan resit ni ke dalam bakul sampah di dalam bilik Cik,” kata penulis kepadanya. Malangnya, dia enggan melakukannya. Sebaliknya, jurutol tu meminta penulis membuang resit bayaran tol tersebut di atas jalan. “Eh! Tak kan saya nak buang di atas jalan ni pulak. Saya minta tolong Cik buangkan di dalam bakul sampah...jika tak ada tak apalah,” jawab penulis balik. Namun begitu, jurutol itu enggan menerima resit itu sebaliknya sekali lagi berkeras meminta penulis mengotorkan jalan dengan melemparkannya di atas jalan. Penulis buat-buat bodoh dengan bertanya “Tak salah ke buang kertas resit atas jalan ni...” dan dia jawab; “Ya tak apa...”

Maka penulis ingin meminta para operator jalan bertol atau lebuh raya memberi panduan kepada jurutol mereka supaya tidak bersikap demikian. Ia adalah satu sikap yang salah. Jika tidak mahu menerima resit bayaran tol itu semula, dia boleh menasihati pengguna supaya menyimpannya tetapi bukan dengan meminta pengguna membuang resit tersebut di atas jalan. Kenapa jurutol tersebut enggan menerima resit yang dipulangkan kepada mereka juga menimbulkan satu persoalan. Mungkinkah menerima semula resit bayaran menjadi satu kesalahan kepada mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain