suria

Dua Anggota Kastam Ditahan Kerana Disyaki Miliki Ganja

KANGAR: Polis menahan dua anggota Kastam selepas menemui tujuh kilogram ketulan dipercayai ganja mampat dalam sebuah kenderaan di tempat letak lori berhampiran Kilang Simen, Bukit Keteri, dekat sini malam Khamis.

Ketua Polis Perlis Datuk Tajudin Md Isa berkata kedua-dua lelaki itu masing-masing berumur 42 dan 44 tahun ditahan kira-kira pukul 9 malam selepas diintip selama 30 minit oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awam, pasukan itu melakukan intipan di kawasan berkenaan dan bertindak menahan mereka setelah menemui tujuh ketulan dipercayai ganja mampat yang setiap satu seberat satu kilogram dalam kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka.

"Ketulan ganja itu dipercayai diambil dari negara jiran dan dua suspek itu dipercayai sedang menunggu seseorang untuk melakukan proses jual beli," katanya selepas menghadiri program derma darah sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-204 di Mess Pegawai Kanan, Sungai Batu Pahat, dekat sini, Khamis.

Tajudin berkata pihaknya telah melakukan pemantauan lebih sebulan untuk mengesan kegiatan kedua-dua suspek itu sebelum mereka ditahan malam Rabu. Kedua-dua suspek itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sempena majlis itu, sebanyak 127 pegawai dan anggota polis telah menderma darah yang merupakan antara acara tahunan sempena sambutan Peringatan Hari Polis. - BERNAMA

Artikel Lain