suria

Mahkamah Beri Tempoh Untuk SPRM Kesan Saksi Utama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, memberikan tempoh masa selama hampir tiga bulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengesan saksi utama yang sepatutnya dikemukakan pada perbicaraan kes rasuah bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Mazhazmi Jamaludin.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan 18 Julai depan untuk menentukan sama ada kes itu, yang telah dibicarakan dengan keterangan lapan saksi pendakwaan akan diteruskan atau sebaliknya.

Beliau juga menetapkan 1 Jun ini sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha SPRM dalam mengesan warga Singapura, Redzuan Goh Mohammed Karian, iaitu individu yang didakwa memberikan rasuah kepada Mazhazmi.

Mazhazmi, 37, didakwa menerima rasuah tunai RM200,000 daripada Redzuan yang merupakan pemilik syarikat pembinaan kapal, MLC Shipbuildings Sdn Bhd (MLC) pada antara pukul 1.25 dan 5 petang, 31 Disember 2008.

Suapan tersebut dikatakan sebagai upah bagi mencadangkan MLC kepada Sime Darby dalam mendapatkan kontrak pembinaan dan penjualan tiga buah kapal tunda (barge) bernilai AS$134.2 juta (RM467.9 juta) dan sebagai balasan kepada tertuduh yang mengesahkan bayaran tertentu bagi pembinaan kapal-kapal tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat syarikat tersebut di Megan Avenue 1, Blok C, 6-1, Jalan Tun Razak, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Mazhazmi boleh dihukum penjara mandatori 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pada Khamis lalu, Kevin membuat permohonan supaya mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan, atau secara alternatif menangguhkan perbicaraan kerana pihaknya tidak dapat mengesan Redzuan.

Pada prosiding Isnin, Kevin memaklumkan bahawa SPRM tidak mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Redzuan akan melarikan diri.

Beliau menambah, SPRM juga telah ke rumah keluarga Redzuan di Taman Tasik Titiwangsa di sini untuk menyerahkan sepina, tetapi gagal untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, menurut Kevin, ahli keluarga Redzuan telah memberi jaminan bahawa ahli perniagaan tersebut akan menghadiri perbicaraan.

Kevin menambah, pihaknya juga telah menulis kepada Biro Penyiasatan Amalan Rasuah Singapura bagi mendapatkan bantuan dalam mencari Redzuan.

Sementara itu, peguam yang mewakili Mazhazmi, Shamsul Sulaiman memohon agar anak guamnya dibebaskan dan menghujahkan kegagalan untuk mengesan saksi utama adalah kesilapan SPRM.

Beliau berkata, SPRM seharusnya mengetahui lokasi Redzuan sejak awal, dan bukannya hanya tiga minggu sebelum perbicaraan dimulakan pada 11 April lalu.

“SPRM mendakwa Redzuan telah ke Singapura pada Januari, tetapi perkara itu hanya diketahui sebelum 12 April.

“Saksi tersebut bukanlah seorang pelarian, tetapi seorang ahli perniagaan yang bergaul dengan orang daripada kelas atasan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain