suria

Lelaki Rentung Dalam Kebakaran

SITIAWAN: Seorang lelaki ditemui rentung dalam satu kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Baru, Ayer Tawar dekat sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jamil Osman berkata mayat lelaki berumur sekitar 50-an itu ditemui dalam sebuah bilik di sebuah daripada rumah separuh papan yang musnah dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) dekat sini untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Sementara itu jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.26 petang dan apabila sampai ke tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian, api sudah pun memusnahkan sebahagian besar kedua-dua buah rumah itu.

Beliau berkata api kemudian berjaya dikawal dan dipadamkan kira-kira 10 minit kemudian, san semasa memeriksa tempat kejadian, pihaknya menemui mayat lelaki itu.

"Identiti lelaki itu belum dapat dikenal pasti dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain